KOTA BHARU – Seorang wanita yang mengalami masalah kemurungan nyaris lemas selepas dia dipercayai terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa merupakan seorang pembantu pembekal makanan berusia 29 tahun disedari terjun ke dalam Sungai Kelantan kira-kira pukul 1.50 pagi oleh seorang lelaki ketika melalui di jambatan berkenaan.
Katanya, lelaki berusia 21 tahun merupakan penolong pengurus di sebuah kafe di sini telah melihat seorang perempuan sedang berdiri di atas penghadang jambatan.
“Lelaki terbabit memberhentikan kenderaannya dan bergegas menghampiri mangsa sebelum cuba memujuknya, namun gagal.
“Mangsa tidak menghiraukan pujukan lelaki itu secara tiba-tiba bertindak terjun ke dalam Sungai Kelantan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan selepas diselamatkan orang awam sebaik menyedari kejadian itu.
Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini sebelum dirujuk kepada pakar psikiatri untuk pemeriksaan lanjut.
Ujarnya, berdasarkan makluman daripada keluarga, mangsa sebelum ini mengalami masalah kemurungan dan tekanan perasaan yang tidak diketahui puncanya.
“Mangsa tidak pernah mengalami masalah mental dan tidak pernah mendapat rawatan di hospital. Wanita itu sebelum ini dalam proses pemulihan melalui cara perubatan tradisional dan cara Islam.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya. – K! ONLINE