LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) berharap dengan pemberian vaksin Covid-19 secara menyeluruh tidak lama lagi di Malaysia memberi tanda positif kepada sektor perlumbaan antarabangsa dapat dianjurkan semula di litar kebanggaan negara itu.
Tahun lalu, semua perlumbaan antarabangsa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan antara menjadi mangsa adalah perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sekali gus mendatangkan kerugian kepada SIC.
Pada tahun ini, dua perlumbaan Grand Prix (GP) iaitu perlumbaan di Argentina dan Amerika Syarikat (AS) terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan di negara berkenaan.
Bagaimanapun, pemegang hak eksklusif televisyen dan komersial MotoGP, Dorna Sports masih meletakkan sepenuh harapan agar kalendar perlumbaan MotoGP Malaysia dapat dianjurkan pada 31 Oktober nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berharap keadaan pandemik Covid-19 kembali reda di negara ini selain dengan kehadiran vaksin juga mampu memberi tanda positif kepada MotoGP Malaysia dapat dianjurkan dengan kehadiran penonton.
“Buat masa ini hanya kejohanan tempatan dapat dianjurkan di Litar Sepang, namun dengan ketibaan vaksin nanti ia dapat memberi tanda positif kepada perlumbaan antarabangsa.
“Saya percaya jika keadaan kembali reda dan sempadan negara kembali dibuka mungkin kita akan dapat lihat lebih terperinci mengenai kejohanan antarabangsa seperti MotoGP.
“Jika terdapat kemasukan kejohanan antarabangsa mungkin peluang kehadiran penonton dengan langkah keselamatan yang perlu diambil kira. Kami akan kemas kini dari semasa ke semasa mengenai perkara ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Rata-rata perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP dan Formula Satu (F1) telah mengamalkan konsep gelembung sukan atau dikenali sebagai sport bubble sejak musim lalu.
Tahun ini , Kementerian Belia dan Sukan menggunakan model tersebut dalam saingan Liga Malaysia dan beberapa sukan lain turut mempraktikan konsep tersebut seperti Liga Hoki dan Sepak Takraw.