LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel percaya jentera serangannya mampu melakukan sesuatu pada aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid di Stamford Bridge awal pagi esok.
Meskipun sekadar seri tanpa jaringan menentang Leeds United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu, namun beliau mengakui tidak bimbang dengan keadaan itu.
Katanya, The Blues mampu untuk merobek pintu gol Atletico pada perlawanan itu sekiranya beliau terus memberi kepercayaan kepada barisan serangan sedia ada.
“Saya fikir tidak perlu untuk beri tekanan kepada penyerang. Saya percaya gol itu akan datang sekiranya mereka ada mentaliti yang betul dalam setiap perlawanan.
“Apa yang penting, pemain-pemain saya perlu bijak membuat keputusan serta menggunakan teknik yang betul ketika melakukan percubaan. Kami boleh jaringkan gol pada perlawanan itu nanti,” kata Tuchel.
Sementara itu, pemain pertahanan Chelsea, Andreas Christensen menggesa rakan sepasukan supaya lebih banyak menguasai bola bagi menghalang Atletico menggunakan taktik serangan balas pantas.
“Kami perlu banyak memegang bola pada perlawanan itu nanti. Semua pemain perlu bekerja keras untuk menekan Atletico ke kawasan mereka sendiri,” ujarnya. – AGENSi