MADRID – Penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez bakal menjadi penentu buat pasukan itu menjelang aksi timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Chelsea di Stamford Bridge awal pagi esok.
Pada aksi terdahulu di Stadium Wanda Metropolitano, Atletico ketinggalan 0-1 hasil jaringan akrobatik yang dilakukan Olivier Giroud.
Justeru, jurulatih Atletico, Diego Simeone mengakui masa depan pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bergantung terhadap aksi Suarez di Stamford Bridge.
“Sebenarnya kehadiran Suarez bukan sahaja beri keyakinan kepada kami dalam saingan Liga Juara-Juara, malah terhadap pertandingan-pertandingan lain juga.
“Pengalaman yang ada padanya berjaya mengurangkan tekanan dalam pasukan selain mampu untuk membimbing pemain-pemain lain di atas padang,” kata Simeone.
Sementara itu, Suarez yang sudah menjaringkan 18 gol dalam 29 perlawanan musim ini tekad untuk membantu pasukan itu mara ke pentas suku akhir.
“Saya sentiasa mahu jadi seorang pemain yang kompetitif dan buktikan kemampuan diri. Hasrat saya adalah untuk bantu Atletico memenangi kejuaraan pada musim ini,” ujarnya. – AGENSI