SHAH ALAM – Saksi pendakwaan ke – 45 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Samirah Muzaffar ada membuat bantahan penamaan kredit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang ditemui mati di rumahnya tiga tahun lalu.
Noor Hafizah Osman, 36, yang merupakan Pegawai Akaun KWSP di Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran KWSP, Kuala Lumpur ketika itu berkata, pihaknya telah menerima bantahan penamaan kredit itu daripada Samirah pada 28 Jun 2018 yang ia dibuat di KWSP Cawangan Kuala Lumpur.
“Pada tarikh tersebut, Samirah telah mengemukakan surat bantahan atas nama beliau dan ditandatangani oleh beliau sendiri. Permohonan bantahan tersebut meminta pihak KWSP untuk membekukan akaun si mati (Nazrin) kerana Samirah di dalam proses untuk mendapatkan sijil faraid dari Mahkamah Syariah, “katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pernyataan saksi pada perbicaraan berhubung kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman di sini.
Mengulas lanjut, Noor Hafizah memaklumkan berdasarkan rekod KWSP, Nazrin telah menamakan penamaan kredit itu atas nama Eza Shafina Dzulkarnain pada 13 Januari 2011.
Berdasarkan permohonan bantahan itu, Kata Noor Hafizah memberitahu pada 6 Julai 2018 pihak KWSP melalui jabatannya ketika itu telah mengeluarkan surat kepada Samirah mencadangkan agar wanita itu memfailkan saman pemula ke Mahkamah Tinggi sekiranya ingin membantah pembayaran kredit si mati kepada Eza Shafina termasuk mendapatkan perintah injuksi dalam masa 21 hari.
“Namun pihak KWSP ketika itu tidak dikemukakan dengan sebarang saman pemula atau perintah injuksi daripada Samirah sehingga dimaklumkan bahawa kes Nazrin telah disiasat sebagai kes bunuh,” katanya lagi.
Terdahulu peguam L.S Leonard, dalam pemeriksaan balas bertanyakan kepada saksi itu sebagai pegawai akaun yang menguruskan bantahan waris, adakah dia sering mendapat permohonan (bantahan) dan saksi itu berkata bantahan itu adalah sesuatu yang biasa.
“Itu (bantahan) adalah biasa, tiada yang luar biasa” kata saksi itu.
Perbicaraan bersambung lagi Isnin depan.
Mengikut pertuduhan, Samirah, 45, dan dua remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian ke atas Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada 13 Jun hingga 14 Jun 2018.
Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan – timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Ashyraf Ashy’ari, Siti Rohaida Che Hamid dan Mohd. Asnawi Abu Hanipah.
Pembelaan diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Leonard, S.Suresh, Rahmat Hazlan, Savreena Kaur, Mardhiyah Siraj dan Zahriah Eleena Redza.-K!ONLINE