PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) bakal memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk kos menggantikan sepenuhnya padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan menggunakan rumput berkelas dunia.
Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes berkata, isu padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sentiasa berdepan kritikan hebat dan harus diakui kualiti padang ketika ini tidak setanding dengan fasiliti yang mereka tawarkan.
“Dari aspek fasiliti, Stadium Nasional boleh dianggap antara yang terbaik tetapi kelemahan ketara masih kekal dari segi padang yang tidak begitu konsisten khususnya ketika hujan.
“Namun, segalanya boleh diperbaiki dan saya sudah berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menaikkan taraf padang yang sebelum ini menggunakan rumput cowgrass kepada rumput berkelas dunia.
“Projek ini dijangka bermula pada Jun depan dan akan memakan masa untuk siap sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam tempoh sembilan bulan. Saya percaya padang Stadium Nasional bakal menjadi antara yang terbaik di dunia,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diwakili Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan PSM mengumumkan lanjutan perjanjian bersama sehingga 31 Disember 2025 di mana Stadium Nasional akan terus menjadi ‘Rumah Harimau Malaya’ bagi tempoh lima tahun akan datang.
Mengulas lanjut, antara pembaharuan lain yang turut diperkenalkan adalah pengenalan Muzium Sukan yang buat masa ini masih lagi berada fasa perbincangan.
“Terdapat beberapa perancangan yang dibincang dengan pihak FAM seperti pembinaan muzium sukan dan sebagainya. Cuma, ia masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penilaian teliti supaya pelaksanaannya dapat memberi kesan positif kepada semua pihak,” katanya.