PETALING JAYA – Perbena Emas Sdn. Bhd. (Perbena) telah mendapat kontrak untuk mereka dan membina Pusat Kesihatan Utama dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan Sarawak bernilai RM485.99 juta.
Melalui penganugerahan kontrak tersebut, jumlah tempahan buku Perbena adalah sebanyak RM1.46 bilion sehingga bulan Februari lalu.
Kontrak tersebut merupakan salah satu daripada empat kontrak yang bernilai RM600 juta yang melibatkan kemudahan dan kerja infrastruktur serta pembangunan untuk beberapa institusi pendidikan di Malaysia.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Perbena telah memiliki rekod pencapaian yang baik dalam industri kejuruteraan sivil dan pembinaan sejak 43 tahun lalu.
Syarikat telah menyiapkan pelbagai projek bernilai lebih daripada RM5 bilion yang meliputi universiti, hospital, pusat beli-belah, kilang semi konduktor dan kemudahan minyak dan gas, lebuh raya serta kerja infrastruktur jalan.