fbpx

Pecah jeriji, 21 PATI tukang jahit dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI yang bekerja sebagai tukang jahit dicekup Jabatan Imigresen Selangor.

SHAH ALAM – Jabatan Imigresen Selangor terpaksa memecahkan pintu jeriji besi dua premis selepas tidak mendapat kerjasama daripada pemiliknya yang menggaji tukang jahit pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di Seksyen 7 di sini semalam.

Dalam serbuan selama empat jam bermula pukul 2 petang itu, menahan 21 PATI termasuk dua wanita daripada Bangladesh dan Indonesia berusia 20 hingga 45 tahun.

Salah seorang daripada PATI wanita berusia 30an itu dipercayai sedang hamil enam bulan.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, serbuan itu hasil risikan pihaknya selama dua minggu terhadap aktiviti dua premis yang dijadikan kilang jahit pukal dengan tidak memaparkan sebarang papan iklan perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, semasa serbuan didapati semua PATI sedang bekerja dengan menjahit pakaian di premis tersebut.

Mohamad Shukri menegaskan, pihaknya juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada PATI ini sebelum tindakan undang-undang termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Kesemua PATI itu telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Negeri Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan ditahan reman selama 14 hari dibawah seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa permit sah dan lebih masa selain Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah diberikan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI