FILEM Bulan & Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar dilihat antara karya berpotensi untuk pecah panggung ketika ditayangkan sekitar 12 Mac tahun lalu. Malangnya, harapan tersebut tidak kesampaian apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.
Kesannya, filem yang menampilkan Zahirah MacWilson dan Zizan Razak sebagai pelakon utama tersebut hanya sempat ditayangkan selama lima hari di pawagam sebelum terpaksa dihentikan susulan pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
Impian untuk melihat filem berkenaan kembali sudah musnah, namun Ghaz percaya keputusan pihak Nizra Entertainment selaku penerbit menayangkan filem itu menerusi Astro First bermula 11 Mac lalu, ada hikmah
“Saya agak kecewa kerana tidak dapat berkongsi pengalaman mendengar gelak tawa dan reaksi penonton di pawagam. Namun, saya melihat keputusan menayangkan filem tersebut dalam televisyen dari sudut positif.
“Saya percaya, tontonan akan lebih meluas apabila disiarkan menerusi Astro First. Saya harap penonton akan mengulang langganan untuk menikmati kepuasan tontonan yang sebenar,” kata Ghaz.
Ketika negara masih bergelut untuk bangkit daripada ancaman pandemik Covid-19, Ghaz terpaksa akur dengan segala situasi mencabar terutama berkaitan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) di pawagam.
Batasan jumlah penonton secara tidak langsung memberi kesan terhadap kutipan tayangan.
“Perkara yang paling membimbangkan ialah isu cetak rompak. Cetak rompak lebih mudah dilakukan menerusi platform penstriman digital. Saya berharap pihak pengedar akan memantau secara serius isu ini, “ ujar Ghaz.
Menyentuh kenangan sepanjang menyiapkan Bulan & Pria Terhebat, Ghaz berkata, filem tersebut memberi makna tersendiri kerana kebanyakan lokasi penggambaran mempunyai memori peribadinya.
“Seronok dapat menjalani penggambaran di Johor yang juga tempat saya membesar seperti di pantai Stulang Laut dan Pasar Karat.
“Kesempatan mengarahkan nama besar seperti Maya Karin dan Khir Rahman turut memberikan kepuasan tersendiri. Kepuasan itu lebih dirasai apabila melihat Zahirah berjaya merealisasikan watak Bulan dengan baik,” tutur Ghaz tentang filem yang menjalani penggambaran selama dua minggu di Johor.
Norma baharu
Menyentuh pembabitannya dalam filem berkenaan, Zahirah yang memegang watak sebagai Bulan berharap, Bulan & Pria Terhebat akan mendapat sambutan penonton sungguhpun dalam situasi norma baharu.
“Peralihan medium tayangan filem mempunyai kebaikan dan kekurangan tersendiri. Dari satu sudut, memberi keselesaan kerana kita dapat mengakses filem dari kediaman sendiri pada bila-bila masa.
“Demi keselamatan, kita tidak lagi bebas untuk keluar dan bertemu rakan-rakan menonton filem seperti biasa kerana terikat dengan SOP. Sungguhpun begitu saya yakin, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” kongsi Zahirah.
Tambah Zahirah, cara kerja kebanyakan orang telah berubah sejak pandemik melanda, begitu juga dengan orang seni yang terpaksa bergantung terhadap media sosial untuk mempromosikan karya.
“Pelakon juga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk mempromosikan sebarang projek.
“Banyak filem yang bagus terpaksa ditangguhkan tayangan kerana pawagam tidak dapat beroperasi dan kekangan tersebut pasti mempengaruhi perkembangan serta pertumbuhan industri filem,” luah Zahirah yang melakonkan sendiri babak aksi dalam filem Bulan & Pria Terhebat.
Sementara itu, Zizan pula melihat transisi tayangan dari pawagam ke skrin televisyen sebagai norma baharu yang perlu diterima semua pihak.
“Mungkin pengalamannya tidak sama seperti menonton di pawagam, tetapi tetap mempunyai nilai tambah kerana filem ini dapat dinikmati bersama seisi keluarga.
“Jika ke pawagam, penonton terikat dengan jadual tayangan sedia ada. Berbeza dengan tayangan di rumah, mereka bebas menonton pada bila-bila masa,” ujarnya yang melakonkan watak Haris.
Maya Karin pula berharap watak Tony lakonannya menjadi pengubat rindu peminat yang menantikan aksi terbaharunya dalam layar perak.
“Filem ini sangat berbeza daripada karya lain yang pernah saya bintangi sebelum ini. Saya juga berharap pandemik ini akan segera berlalu dan industri filem tempatan akan kembali meriah seperti dahulu,” katanya.
Selain Zahirah, Zizan dan Maya Karin, filem tersebut turut menampilkan Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi, dan Yus Noor.
Filem Bulan & Pria Terhebat telah mula ditayangkan di Astro First bermula 11 Mac lalu.