REMBAU – Selepas 13 hari menerima rawatan di hospital, seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang melecur dalam kebakaran di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini meninggal dunia petang tadi.
Mangsa, Zaidi Zainuddin, 40, yang melecur pada beberapa bahagian badan disahkan meninggal dunia pada pukul 5.15 petang.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad, jenazah dikebumikan pada malam ini di Tanah Perkuburan Solok Jelawai.
“Mangsa bertarung nyawa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban sejak kebakaran pada 4 Mac lalu akibat lecur,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Artikel berkaitan: Ibu berkorban untuk anak, polis untuk masyarakat
Dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, Maimunah Shah, 80, dikatakan cuba masuk ke dalam rumah yang sedang terbakar bagi menyelamatkan Zaidi.
Tindakannya bagaimanapun sempat dihalang seorang anggota polis yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Sementara itu, Pengasas Amal Team Rembau, Ibrahim Hamzah berkata, pihaknya diamanahkan untuk menguruskan jenazah arwah di Teratak Amal Team Rembau di Taman Chembong Jaya.
“Urusan memandikan, mengkafankan dan mengebumikan jenazah dilaksanakan sebaik mungkin.
“Solat jenazah disempurnakan di Masjid Kariah Mampong. Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 9.30 malam,” katanya.-K!ONLINE