PETALING JAYA – Pusat hiburan sambil belajar untuk keluarga, KidZania Kuala Lumpur kini dibuka kepada umum dengan membawa keseronokan baharu setelah diambil alih pemilik baharunya, Sim Leisure Group yang terkenal dengan jenama Taman Tema Escape.
Bagi menarik semula minat pengunjung, KidZania Kuala Lumpur menawarkan potongan harga melalui sistem penjualan tiket dalam talian baharu di laman sesawangnya bermula RM36 hingga RM46 untuk kanak-kanak berumur dua sehingga tiga tahun; RM75 sehingga RM95 untuk kanak-kanak berumur empat sehingga 17 tahun dan RM46 sehingga RM58 untuk dewasa.
Bayi berumur sehingga 12 bulan, warga emas berusia lebih 60 tahun dan pemegang kad orang kelainan upaya pula dibenarkan masuk secara percuma.
Gabenor KidZania Kuala Lumpur dan Ketua Pegawai Eksekutif Sim Leisure Group, Sim Choo Kheng berkata, pihaknya kini menawarkan pengalaman yang lebih baik dan selamat buat pengunjung, menerusi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Jelasnya, antara SOP ditetapkan termasuk penjarakan fizikal, sanitasi terperinci di semua kemudahan dan jumlah maksimum pengunjung di satu-satu kawasan.
“Kami telah melabur banyak masa, perbelanjaan dan tenaga untuk menyediakan SOP terperinci dan efektif bagi kakitangan serta pengunjung, selain menggalakkan pengunjung membuat tempahan awal untuk memudahkan proses kemasukan kerana bilangan pengunjung dihadkan.
“Malah, kami menjangka proses beratur akan terhapus sepenuhnya pada masa akan datang di KidZania Kuala Lumpur dengan adanya kemudahan pembelian tiket dan kemasukan tanpa sentuhan dengan imbasan kod respons pantas (QR),” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.