PETALING JAYA – Kebakaran melibatkan deretan gerai di Pasar Datuk Keramat dipadam sepenuhnya petang tadi.
Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati beberapa gerai makanan musnah terbakar dan kepulan asap hitam masih kelihatan.
Seorang pemilik gerai makanan yang ingin dikenali sebagai Rahman, 45, berkata, kebakaran dipercayai berlaku dari salah sebuah gerai sebelum ia merebak ke premis lain.
“Saya tidak dapat memastikan gerai yang mana satu kerana kejadian berlaku dengan pantas. Saya hanya sempat ambil barangan peribadi dan arahkan pekerja meninggalkan gerai.
“Saya juga sempat mengeluarkan tong gas dan membantu peniaga mengalihkannya ke lokasi lain kerana bimbang ia akan meletup dan menyebabkan kebakaran menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Artikel berkaitan: Pasar Datuk Keramat terbakar
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Suhaimi Mohd. Razali berkata, kebakaran dikawal sepenuhnya pada pukul 6.25 petang.
“Anggota bomba yang bertugas berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Siasatan mendapati, struktur gerai yang rapat antara satu sama lain dan tiada dinding pemisah api mengakibatkan kebakaran merebak dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Suhaimi berkata, kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan punca kejadian masih dalam siasatan.-K!ONLINE