SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta selama kira-kira empat jam oleh pengetua tadikanya dalam kejadian di Taman Ria di sini semalam.
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta Proton Waja oleh pengetua terbabit kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Kanak-kanak itu dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim menggunakan ambulans.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebelum itu, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dijemput pengetua, seorang wanita berusia 49 tahun di rumahnya di Taman Ria untuk ke tadika pukul 7.45 pagi.
“Mangsa kemudian duduk di tempat duduk belakang bahagian kiri yang mana sebelum itu, pengetua terbabit telah mengambil seorang pelajar lain berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.
“Sampai sahaja di hadapan tadika, seorang guru telah mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika sementara pengetua pula terus meletakkan kereta di tepi luar tadika dengan enjin dimatikan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan dari pukul 8 pagi hingga 12.15 tengah hari sebelum pengetua menyedari kejadian ketika mahu menghantar mangsa semula ke rumahnya.
“Wanita berkenaan terus menuju ke arah kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan tadika dan dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” ujarnya. -K! ONLINE