fbpx

‘Kamu gagal, khianati amanah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – “Kamu jaga pintu masuk negara. Kamu gagal (bererti), khianati amanah,”.

Demikian kata Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh yang menjatuhi hukuman penjara 10 hari bermula hari ini terhadap pegawai imigresen, Mohd. Azam Azhari Juhairi, 39.

Mahkamah turut mengenakan denda RM10,000 atau berdepan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM2,600 berhubung kes sindiket rasuah pemalsuan cap sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di antara 2019 hingga 2020.

Selain itu, tiga harta melibatkan kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati V4S dan basikal roadbike jenama Sworks yang diperolehi daripada hasil rasuah itu turut dilupuskan haknya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan kes rasuah tidak mempunyai mangsa sebaliknya situasi menang-menang (antara pemberi dan penerima rasuah) .

“Namun, dia memberikan implikasi besar terhadap masyarakat dan negara. Semua penjawat awam pegang amanah dan bertanggungjawab. Kamu masih muda dan ambil iktibar kejadian ini dan tidak ulangi lagi,” jelasnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Azam sebagai pegawai imigresen gred KP19 telah menerima wang tunai RM2,600 daripada seorang lelaki di kaunter imigresen KLIA 2 di antara November 2019 hingga Mac 2020.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Peguam Naim Kamaruddin mewakili tertuduh yang masih bekerja di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil memohon hukuman penjara sehari dan denda paling minimum kerana perlu menanggung isteri merupakan suri rumah dan ibunya berusia 55 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis yang kronik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Fadhli Ab. Wahab menegaskan hukuman yang dipohon pihak pembelaan adalah tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh yang melibatkan isu keselamatan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI