LONDON – Jaguh tinju sensasi Britain, Anthony Joshua akhirnya akan berdepan Tyson Fury selepas masing-masing bersetuju untuk bertarung untuk merebut gelaran heavyweight dunia yang bakal berlangsung tahun ini.
Pertembungan tersebut akan berlangsung dalam dua perlawanan, namun lokasi dan tarikh perlawanan kedua-dua jaguh tinju Britain itu masih belum diputuskan.
Perlawanan tersebut bakal menjadi pertarungan mewah apabila masing-masing dijangka menerima £100 juta (RM571.67 juta) dan hadiah kemenangan dibahagi sama rata pada pertarungan pertama.
Pada perlawanan kedua nanti wang kemenangan akan diberikan secara 60-40 dan juara akan menerima jumlah wang kemenangan terbanyak.
“Selepas beberapa kali melakukan perbincangan akhirnya kami mendapat kata putus daripada kedua-dua petinju. Perkara paling sukar adalah ingin mendapatkan persetujuan daripada semua pihak.
“Keputusan perlawanan ini adalah persetujuan semua pihak. Dalam tempoh terdekat, kami akan memutuskan tempat perlawanan dan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya bulan depan.
“Ia adalah perlawanan terbesar dalam sukan tinju dan menjadi tumpuan di seluruh dunia,” kata promoter perlawanan, Eddie Hearn semalam.
Arab Saudi dijangka menjadi lokasi perlawanan tersebut dan Joshua dianggap sebagai pilihan kerana pernah memenangi perlawanan ulangan ke atas Andy Ruiz Jr. dan turut mempertahankan gelarannya ketika menentang Kubrat Puley di London pada Disember lalu.
Fury kini sedang melakukan persiapan kerana lebih setahun tidak turun ke gelanggang selepas kali terakhir berjaya menumbangkan Deontay Wilder pada Februari 2020 untuk menjulang gelaran WBC. – AGENSI