Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Masyarakat dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ‘dakyah’ sesetengah pihak yang kononnya akan membantu sekiranya mereka dikompaun akibat kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, adalah lebih baik masyarakat sentiasa menjaga SOP sekali gus mencegah wabak Covid-19 daripada terus merebak.
“Jangan terpengaruh dengan dakyah orang di luar yang mana kami rasa itu hanya akan membantu mereka dikenakan kompaun dan yang paling bagus sekali kita jaga kita.
“Jangan sesekali ada pemikiran untuk melanggar SOP yang telah ditetapkan, jangan pula kita fikir kita langgar ada pihak tertentu yang akan membantu dalam mengurangkan kompaun atau membatalkannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar, di sini hari ini.
Pada majlis itu sebanyak 40 kenderaan termasuk lapan motosikal berkuasa tinggi diserahkan kepada setiap cawangan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Pasukan Polis Marin Wilayah 3.
Sementara itu Abd. Jalil berkata, sepanjang tempoh setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama Mac tahun lalu, seramai 1,410 individu ditahan kerana melanggar SOP dan 605 orang sudah dituduh di mahkamah.
“Selain itu dalam tempoh enam hari selepas denda dinaikkan ke RM10,000, seramai 24 orang sudah dikompaun iaitu 18 orang di daerah ini dan enam orang di Bentong,”ujarnya. – K! ONLINE