SAKHIR – Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner menegaskan beliau tidak percaya dengan drama pasukan Mercedes yang mendakwa gagal tampil terbaik pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Bahrain kali ini.
Pada 2019, Mercedes berdepan masalah serupa, namun mereka tampil cemerlang pada perlumbaan sebenar, sekali gus membuatkan ramai mengakui ia adalah taktik serupa yang digunakan Mercedes untuk tidak menunjukkan potensi sebenar mereka pada sesi ujian tersebut.
Horner turut percaya Mercedes tidak berdepan sebarang masalah serius, malah yakin pasukan tersebut akan pamerkan taring pada perlumbaan sebenar yang membuka tirai 28 Mac ini nanti.
“Dua tahun lalu mereka (Mercedes) berdepan masalah yang serupa pada sesi ujian rasmi. Kita semua tahu apa yang terjadi selepas itu,” kata Horner.
Pada sesi ujian kali ini, Max Verstappen tampil cemerlang apabila merekodkan masa ujian terpantas dan pasukan Mercedes berdepan masalah pada siri pembukaan apabila pelumbanya, Valtteri Bottas hanya sempat membuat enam pusingan selepas jenteranya berdepan masalah kotak gear.
Verstappen turut mengakui Mercedes sentiasa menjadi pencabar terhebat pasukannya dan yakin pasukan tersebut akan mempamerkan aksi sebenar pada perlumbaan nanti.
“Sesi ujian hanya untuk melihat potensi sebenar jentera dan saya secara keseluruhan gembira dengan hasil yang kami peroleh. Mengenai pasukan Mercedes, ia masih terlalu awal untuk menilai kemampuan mereka.
“Seperti sebelum ini meskipun berdepan masalah mereka tampil dominan sepanjang perlumbaan setiap musim dan sukar untuk ditandingi,” kata Verstappen. – AGENSI