KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengakui cukup berminat sekiranya diberi peluang dilantik menjadi Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang baharu susulan Datuk Hamidin Mohd. Amin menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan tersebut.
Terdahulu, Hamidin mahu melepaskan jawatan itu bagi memberi tumpuan penuh dengan tugas sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai calon sesuai mengisi kerusi Presiden MFL.
Fernandes yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) enggan menolak sebarang kemungkinan jika dirinya dipilih untuk menerajui pucuk pimpinan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) kerana minatnya yang mendalam terhadap sukan bola sepak.
“Ia akan menjadi satu kebanggaan buat saya sekiranya dipilih menjadi Presiden MFL dan bersedia untuk menjalankan tanggungjawab tersebut jika diberi peluang kerana saya cintakan sukan bola sepak.
“Secara jujur, saya percaya individu yang perlu dipilih oleh MFL adalah orang luar daripada bola sepak yang dilihat berpotensi untuk mengangkat badan induk itu ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita semalam.
Fernandes ditemui selepas Majlis Menandatangani Lanjutan Perjanjian PSM dengan FAM sehingga 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Sementara itu, Hamidin meletakkan keputusan penuh kepada Ahli Lembaga Pengarah untuk memilih individu yang bakal menjadi Presiden MFL baharu pada kongres badan tersebut akan datang.
“Tidak adil untuk saya ulas apa yang dia (Fernandes) katakan kerana keputusan siapa yang bakal menjadi Presiden MFL baharu hanya akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah sesuai mengikut perlembagaan,” katanya.