MANCHESTER – Pemain tengah baharu Manchester United, Donny Van De Beek dilaporkan bersedia untuk meninggalkan pasukan itu selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan pasukan itu.
Harapan pemain antarabangsa Belanda itu untuk menyinar di Old Trafford gagal menjadi kenyataan apabila dia hanya membuat dua penampilan musim ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Donny menjadi satu-satunya pemain yang ditandatangani oleh United pada musim panas lalu selepas melengkapkan perpindahan dari Ajax Amsterdam.
Biarpun tonggak tengah utama, Paul Pogba terpaksa disisihkan ekoran mengalami kecederaan, Donny tetap gagal untuk mengambil kesempatan itu apabila dia hanya beraksi dalam 11 perlawanan dalam semua kejohanan.
Situasi itu nyata meresahkan Donny yang hampir berputus asa dengan masa depannya di United dan bersedia untuk mencari kelab baharu pada musim panas nanti.
Biarpun dianggap antara pemain penting untuk skuad antarabangsa Belanda, keadaan itu membuatkan Donny risau mengenai peluangnya untuk beraksi di Euro pada Jun nanti ekoran kekurangan waktu bermain.
Donny terlepas aksi menentang AC Milan pada saingan Liga Europa minggu lalu ekoran kecederaan, namun dijangka kembali ke pangkuan pasukan tetapi masalah utama adakah Ole Gunnar Solskjaer bersedia untuk menyenaraikannya.
Di United, khabar angin bertiup kencang bahawa Solskjaer tidak pernah bersetuju untuk mendapatkan khidmat Donny sebelum ini. – AGENSI