BATU PAHAT – Seekor buaya tembaga betina kini diburu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk sekitar Kampung Parit Kangkung di sini.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, buaya berukuran tiga meter setengah berkenaan kini dipercayai berada di muara sungai berhampiran kampung berkenaan selepas dikesan berada di situ sejak Rabu lalu.
“Pihak kami menerima aduan daripada penduduk kampung berkenaan pada 10 Mac lalu mengenai kehadiran seekor buaya tembaga betina di sebuah ladang kelapa sawit.
“Kami juga mendapati ramai penduduk kampung datang ke tempat itu untuk melihat sendiri di mana buaya berkenaan berada.
“Dengan situasi itu dibimbangi akan ada insiden orang awam atau kanak-kanak terjatuh dan sebagainya serta menjadi risiko diserang oleh reptilia ganas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, pihaknya mengambil keputusan untuk menangkap dan memindahkan buaya berkenaan ke habitat yang lebih sesuai.
“Dalam operasi ini pihak kami cuba menangkap buaya berkenaan tetapi buaya itu sudah lari ke tempat lain kerana mungkin terkejut dengan hadiran ramai orang di habitatnya itu.
“Tapi kita yakin dalam masa dua atau tiga hari lagi buaya itu akan kembali semula ke sarangnya kerana tabiat buaya akan menjaga sarang dan anak atau telurnya sehingga menetas,” katanya.
Katanya, buaya itu ditemui penduduk kampung ketika sedang mengeram telurnya dan pihaknya turut menemui 56 biji telur buaya di lokasi sarang buaya berkenaan.
“Operasi ini dijalankan adalah untuk memindahkan buaya berkenaan ke habitat asalnya dan telur yang ditemui juga akan menjalani proses simpan dan eram selama tiga bulan.
“Operasi yang melibatkan 13 pegawai dan kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Johor, Jabatan Perhilitan Batu Pahat dan Muar serta dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia RELA,” katanya.-K! ONLINE