ALOR SETAR – Kritikan penyokong terhadap prestasi kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar sejak kebelakangan ini tidak sesekali melemahkan semangatnya apabila beliau menjadi watak penting dalam meraih kemenangan 3-1 ke atas PJ City FC malam ini.
Tidak hanya mencetak gol untuk skuad Hijau Kuning, pemain berusia 33 tahun itu turut membantu penyerang, Kpah Sherman menjaringkan gol kedua sebelum pemain gantian, Muhammad Faizat Mohamad Ghazali menambah jaringan dalam tempoh enam minit terakhir perlawanan.
Berlangsung dalam cuaca dan keadaan padang yang cukup baik, KDA FC jelas menguasai perlawanan dengan melakukan percubaan berbahaya sejak dari minit terawal permainan menerusi gandingan tiga serangkai iaitu Sherman, Tchetche Kipre dan Rabih Ataya.
Begitu pun, tindakan pemain pertahanan mereka, Mohamad Fandi Othman menjatuhkan pemain tengah pasukan pelawat, Sunil Caven Chandran pada minit ke-39 mengundang padah apabila PJ City FC dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd. Fusser Mad Salleh.
Kesempatan itu tidak dipersiakan penyerang gantian pasukan pelawat, M. Kogileswaran Raj untuk menjaringkan gol pertama PJ City FC apabila sepakannya gagal dijangka penjaga gol KDA FC, Mohd. Shahril Saari.
Memasuki babak kedua perlawanan, jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak melakukan beberapa perubahan taktikal termasuk dengan menggantikan penyerang, Md. Rozaimi Abd. Rahman dengan pemain tengah, Fayadh Zulkifli.
Perubahan itu jelas mendatangkan manfaat kepada tuan rumah apabila serangan dilaksanakan tampak lebih tersusun.
Hasilnya hanya kira-kira dua minit selepas perlawanan bersambung, Baddrol menggegar gawang lawan untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang hasil sepakan sudut dilakukan Ataya.
Minit ke-52, Baddrol sekali lagi mempamerkan kemahiran apabila sepakan percuma diambilnya, tepat sampai kepada Sherman yang tidak menunggu lama untuk melakukan rembatan kencang bagi menewaskan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Kira-kira enam minit sebelum tamat perlawanan, Fayadh menoktahkan kemenangan Kedah apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah menerusi rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada pemain veteran, Azammuddin Mohd. Akil. – K! ONLINE