PEMAIN perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia dijangka menampilkan aksi lebih baik menjelang kejohanan badminton Seluruh England (All England) yang dijadualkan bermula esok.
Terdahulu, pemain yang berada pada ranking ke-10 dunia itu melangkah ke separuh akhir Terbuka Switzerland sebelum tewas 18-21, 10-21 kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann percaya anak buahnya itu menunjukkan banyak peningkatan jika dibandingkan dengan aksi di Bangkok Januari lalu.
Justeru, beliau percaya Zii Jia berada pada landasan terbaik untuk kembali ke prestasi terbaik sama seperti ketika mara ke separuh akhir All England tahun lalu.
“Setakat ini, dia menunjukkan peningkatan dari segi prestasi di dalam gelanggang. Mungkin masih jauh dengan aksi terbaik tetapi dia sedang bekerja keras ketika ini.
“Saya fikir dia perlukan masa untuk memastikan keadaan fizikal dan mentalnya kembali pulih. Secara keseluruhan, dia berada di landasan terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sebelum ini, legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menegaskan, aksi di All England mampu menjadi detik kebangkitan pemain berusia 23 tahun itu.
Zii Jia akan turun sebagai pilihan keenam pada kejohanan badminton tertua di dunia itu dan dijadualkan bertemu pemain Kanada, Brian Yang pada pusingan pertama.
Bagaimanapun, dia dijangka berdepan laluan sukar pada pusingan kedua apabila berkemungkinan bertemu pemain veteran Denmark, Hans-Kristian Vittinghus.