IPOH – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman selama enam hari terhadap lima individu termasuk tiga penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Perintah reman sehingga Ahad ini dikeluarkan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tiga penguat kuasa dari JPJ Perak, Pahang dan Pulau Pinang serta dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai proksi bagi kes terbabit berusia antara 31 hingga 46 tahun.
Kesemua mereka yang diiringi pegawai SPRM dan memakai baju lokap berwarna jingga itu tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ipoh pada pukul 10.30 pagi.
Sementara itu, SPRM dalam kenyataannya berkata, lapan pegawai dan anggota JPJ negeri Perak, Pahang dan Pulau Pinang ditahan bersama empat proksi, semalam.
Katanya, mereka ditangkap kerana disyaki menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Aduan bagi kes itu dibuka untuk siasatan di bawah kesalahan Seksyen 17(a) dan 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
“Tindakan reman bagi seorang proksi telah dijalankan semalam manakala tiga peguatkuasa JPJ dan dua proksi lagi direman hari ini,” katanya. -K! ONLINE