PETALING JAYA – Tiga negeri ditukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada PKP Pemulihan (PKPP) iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi Kedah, Kuala Muda dan Kulim masih berstatus PKPB kerana terdapat kluster aktif di kawasan tersebut.
“Perak pula menyaksikan zon merah berkurangan dan zon hijau bertambah menjadi 46 daripada 78 mukim.
“Negeri Sembilan mencatatkan penurunan kes mendadak dengan peratus zon hijau 67.2 peratus. Seremban masih berstatus PKPB kerana masih zon merah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Ismail Sabri berkata, enam negeri atau wilayah dikekalkan status PKPB iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Sarawak masih lagi PKPB kerana insiden masih tinggi dan kebanyakan zon di sana masih merah dan jingga,” katanya.
Pada masa sama, ujarnya, tujuh negeri atau wilayah dikekalkan status PKPP iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan.
“Pertukaran status dari PKPB kepada PKPP serta pengekalan status PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa bermula 19 hingga 31 Mac 2021 kecuali Sarawak yang berkuat kuasa 16 hingga 29 Mac 2021,” katanya. -K! ONLINE