MANCHESTER – Pemain sayap lincah Manchester City, Raheem Sterling menafikan dakwaan mengatakan dia bergaduh dengan pengurus, Pep Guardiola yang menyebabkan namanya tidak disenaraikan dalam dua aksi terakhir Liga Perdana Inggeris.
Sterling, 27, sekadar memanaskan bangku simpanan ketika City membelasah Southampton 5-2 pada 11 Mac sebelum dia langsung tidak berada dalam senarai skuad utama ketika menang 3-0 ke atas Fulham tiga hari kemudian.
Difahamkan, antara salah satu faktor Sterling diketepikan setelah dia dikatakan telah meluahkan kekecewaan kepada Guardiola kerana tidak mendapat banyak minit permainan, sekali gus mencetuskan perbalahan antara kedua-dua individu tersebut.
Bagaimanapun, Sterling menepis spekulasi tersebut dan mengakui, tidak sabar untuk kembali membantu The Citizens menghadapi aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Borussia Monchengladbach di Etihad awal pagi esok.
“Ia cuma khabar angin ‘gila’ di laman sosial. Ia sangat mengarut dan langsung tidak masuk akal kerana saya sendiri tidak sabar untuk kembali beraksi bersama rakan-rakan,” katanya.
Bukan sahaja Sterling, malah Guardiola turut menafikan dakwaan tersebut dengan memberi bayangan bintang skuad antarabangsa England itu berkemungkinan besar disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang Gladbach awal pagi esok.
Sebagai rekod, City mempunyai kelebihan dua gol ke atas Gladbach selepas menang 2-0 hasil jaringan Bernardo Silva dan Gabriel Jesus pada pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan hujung bulan lalu. – AGENSI