fbpx

Sindiket gores dan menang sasar warga emas kecundang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin (kanan) melihat pelbagai barangan elektirk yang berjaya dirampas pada sidang akhbar mengenai serbuan ke atas sebuah kaunter jualan di sebuah pusat membeli belah berikutan perniagaaan jualan langsung tanpa lesen dan aktiviti gores dan menang di Stor KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Sentral Segambut di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan satu sindiket yang menjalankan aktiviti gores dan menang dengan menyasarkan golongan warga emas sebagai mangsa tidak berpanjangan apabila sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah kaunter jualan di sini 12 Mac lalu.

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan kira-kira pukul 11.30 pagi itu dilakukan susulan aduan awam yang diterima berhubung aktiviti perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah termasuk menjalankan aktiviti gores dan menang.

“Seramai tiga individu telah ditahan dan siasatan awal di kaunter jualan itu kemudiannya telah membawa anggota penguat kuasa ke sebuah kediaman di Puchong, Selangor yang disyaki dijadikan tempat simpanan barangan dan dokumen-dokumen aktiviti terbabit.

“Menerusi serbuan di rumah itu kita telah berjaya merampas sebanyak 115 unit barangan elektrik pelbagai jenama, dokumen berbentuk invois bayaran yang dibuat oleh pembeli, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Nissan Almera,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ariffin, tiada sebarang tangkapan dilakukan di kediaman yang merupakan inap desa itu dan dipercayai rumah tersebut ditinggalkan secara tergesa-gesa kerana masih mengandungi barangan yang kemudiannya disita itu.

“Susulan maklumat risikan, pasukan serbuan kemudiannnya berjaya mengesan serta menahan seramai 12 individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan di sebuah hotel di ibu negara yang dijadikan tempat persembunyian mereka.

“Turut dirampas adalah sebanyak empat buah kenderaan pelbagai jenama dan sejumlah telefon bimbit yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM807,798 iaitu jumlah rampasan kedua paling besar tahun ini,” ujar beliau.

Menurut Ariffin, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan telah bergerak aktif di beberapa negeri di seluruh negara sejak awal tahun lalu dengan menyasarkan golongan warga emas dan pesara sebagai mangsa.

“Modus operandi yang dilakukan mereka adalah menarik pelanggan ke kaunter jualan sebelum mengarahkan mangsa menandatangani dokumen berkaitan untuk melayakkan mereka menyertai pertandingan gores dan menang.

“Mangsa yang terpedaya kemudiannya mendapati hanya memenangi baucar RM30 ringgit contohnya tetapi perlu membeli barangan bernilai mencecah ribuan ringgit untuk menebusnya namun mangsa yang telah menandatangani dokumen persetujuan akhirnya akur dengan perkara itu,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Ariffin menjelaskan bahawa siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan di bawah Akta Jualan Langsung dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 untuk kesalahan pertama. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI