fbpx

Roger Ng ‘dipulangkan’ ke Malaysia untuk bicara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng yang didakwa terlibat dengan penjualan nota sekuriti dan bon syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah AS$6.5bilion akan `dipulangkan’ ke Malaysia untuk dibicarakan sekitar Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Noorina Bahadun ketika pegurusan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi  Muhammad Jamil Hussin.

Menurut Noorina,  Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara, Roger Ng akan dihantar pulang ke Malaysia selepas 1 Jun ini namun tidak mendedahkan lanjut maklumat lain mengenai `kepulangan’ lelaki itu.

Pendakwaan turut memaklumkan kes lelaki itu yang sebelum ini berada di dua Hakim Mahkamah Tinggi berbeza telah dipindahkan ke Hakim Muhammad Jamil.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili tertuduh memaklumkan, mahkamah di Amerika Syarikat telah ditutup sejak 1 Oktober 2020 ekoran pandemik Covid-19 dan baharu sahaja mula beroperasi dan tidak mempunyai sebarang bantahan untuk tarikh baharu tersebut.

Justeru tarikh 15 Jun ini ditetapkam untuk pengurusan kes selanjutnya.

Roger Ng atau nama sebenarnya Ng Chong Hwa, 49, kini berada di New York selepas diekstradisi pada Mei 2019 untuk berdepan pertuduhan oleh DoJ berhubung skandal 1MDB. Roger Ng telah didakwa di New York pada Mei 2019 dan sepatutnya mula dibicarakan pada Februari lalu selama enam minggu.

Pada 19 Disember 2018, Roger Ng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Di Amerika Syarikat, Chong Hwa didakwa atas tuduhan rasuah dan beberapa lagi tuduhan membabitkan skandal 1MDB di New York dan antara tuduhan yang dihadapinya termasuk konspirasi rasuah dan konspirasi melakukan pengubahan wang haram.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI