JAKARTA – Ratusan remaja dari pelbagai daerah di Jawa Barat dimasukkan ke Hospital Sakit Jiwa Jawa Barat (RSJ) akibat ketagihan bermain permainan online, lapor Suara.com, hari ini.
Menurut laporan terperinci, seramai 98 remaja dimasukkan ke RSJ pada 2020 dan 14 pesakit lagi pada Januari serta Februari tahun ini .
Mereka semua sedang menjalani rawatan di RSJ bagi ketagihan permainan online ini.
Pengarah Urusan RSJ daerah Cisarua, Elly Marliyani menjelaskan, puluhan pesakit tersebut adalah kanak-kanak berusia antara 11 hingga 15 tahun yang mengalami masalah ketagihan bermain permainan online di komputer dan telefon pintar.
“Kami kategorikan masalah ini sebagai ketagihan internet dan ia termasuk permainan online,” kata Elly ketika ditemui di RSJ Cisarua, Jalan Kolonel Masturi, Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, hari ini.
Sementara itu, bagi 2019, pihaknya belum mengasingkan data mengenai pesakit yang dirawat khas untuk ketagihan permainan online.
RSJ buat masa ini hanya menangani pesakit komorbid iaitu situasi di mana kanak-kanak mengalami gangguan dua gejala dalam masa sama iaitu sakit mental dan ketagihan permainan online.
“Jadi pada 2019, tidak ada data yang lengkap untuk jumlah pesakit ketagih permainan online namun secara purata terdapat sekitar 11 hingga 12 pesakit yang daftar masuk ke RSJ setiap bulan,” jelas Elly.
Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja di RSJ Cisarua, Lina Budiyanti, menambah bahawa majoriti ibu bapa memilih membawa anak-anak mereka mendapatkan rawatan apabila mula menunjukkan keagresifan emosi apabila dilarang menggunakan telefon pintar.
“Apabila mereka dilarang, ekspresi emosi anak-anak bertukar agresif. Mereka akan mula melempar barang bahkan mengancam mencederakan diri sendiri menggunakan senjata tajam jika permintaan mereka untuk menggunakan telefon pintar dan penambahan kuota internet tidak dipenuhi,” jelasnya.
Tambah Lina, faktor penularan Covid-19 juga dilihat sebagai penyumbang utama peningkatan ketagihan permainan online dalam kalangan remaja kerana mereka banyak menggunakan komputer riba, telefon pintar dan internet untuk kelas online di rumah.
“Ketika penularan wabak Covid-19, golongan remaja ini terkurung di rumah dan tidak bebas bergerak atau bermain di luar seperti biasa.
“Ibu bapa pada mulanya memberikan kelonggaran kerana fikir jika anak-anak tidak bermain permainan online, apa lagi yang ingin dilakukan di rumah. Bermula dengan kelonggaran dan akhirnya melarat menjadi ketagihan tidak terkawal,” tegasnya. – Agensi