PETALING JAYA – Biarpun pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) sudah pun berakhir dua hari lalu, namun kisah yang terjadi sepanjang acara tersebut masih menjadi bualan hangat peminat.
Sudah tentu kejadian yang menimpa penyanyi Nabila Razali apabil terkucil ketika menyampaikan lagu Peluang Kedua sehingga membuatkan namanya trending dalam media sosial.
Bagaimanapun, komposer lagu berkenaan iaitu MFMF menerusi Instagram mereka berkongsi beberapa sedutan video memaparkan momen penyanyi itu menyanyikan lagu Peluang Kedua ketika sesi rakaman, ‘soundcheck’ dan raptai sebelum bermulanya AJL.
MFMF secara peribadi sangat berbangga dengan apa yang telah diberikan Nabila pada malam persembahan meskipun dia dikecam teruk kerana gagal menyampaikan lagunya dengan baik.
“Tahniah Nabila, kami sangat berbangga dengan awak. Kami selalu berbangga dan teruja dengan semangat tinggi yang ditunjukkan awak ketika berdepan cabaran.
“Tiada siapa tahu beban yang ada pernah dan sedang tanggung. Biarpun begitu, di sebalik kecaman yang diterima, awak masih mampu menyampaikan sebuah persembahan yang cantik dan menyentuh jiwa,” tulisnya.
Pada masa sama, MFMF turut meluahkan rasa bangga kerana berpeluang bekerjasama dengan penyanyi itu dan juga komposer bersama, Hael Husaini.
“Hanya kami yang tahu kerja keras yang awak lakukan untuk sampai ke tahap ini dan kami berbangga dapat melaluinya bersama awak dan Hael. Jadi, jomlah bekerjasama untuk projek seterusnya?” katanya lagi.
Menerusi perkongsian tersebut, rata-rata pengguna Instagram memuji nyanyian Nabila ketika sesi latihan dan meminta MFMF berkongsi video penuh.
Peminat menyifatkan penyanyi itu sudah melakukan yang terbaik, namun nyanyiannya tergelincir kerana terlalu gementar. – K! ONLINE