KONGRES Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kali ke-57 yang berlangsung di Putrajaya, Sabtu lalu berakhir dengan 17 kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) bagi penggal 2021-2025 selamat diisi.
Pucuk pimpinan FAM yang kekal diterajui Datuk Hamidin Mohd. Amin sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan visi dan misi badan induk itu dapat dicapai.
Antara yang menjadi harapan besar rakyat sudah tentu kelayakan skuad Harimau Malaya ke pentas Sukan Asia 2023 di China dan temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis nanti.
Hamidin dalam kenyataannya selepas tamat kongres tersebut mahu semua pihak memainkan peranan masing-masing kerana kejayaan tidak akan datang dengan usaha individu sebaliknya kerjasama berpasukan.
Kata Hamidin, semua Exco FAM yang dilantik perlu menunaikan amanah yang dipertanggungjawab bagi terus memacu badan induk bola sepak negara itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Satu report card baharu akan diperkenalkan untuk setiap Exco FAM kali ini yang mana mereka perlu memenuhi setiap Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dan perlu diserahkan pada kongres tahunan.
“Situasi ini diambil bagi memastikan semua Exco melakukan tanggungjawab dengan sempurna sekali gus tidak goyang kaki dengan amanah diberikan oleh ahli gabungan dan peminat.
“Ini kerana dalam tempoh pemilihan ini, ramai yang katakan hanya saya yang bekerja tetapi tidak. Exco saya yang lain pun buat kerja dan saya mahu pastikan mereka diberikan tugas yang betul kerana kita akan dinilai oleh semua pihak.
“Kalau bab kerja, jangan main-main. Saya tidak boleh kerja berseorangan. Jadi saya perlu mendorong mereka,” katanya yang telah menerajui FAM sejak tahun 2018.
Lebih mengejutkan, Hamidin turut rela hati melepaskan jawatannya sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang disandangnya sejak 2019 dalam masa terdekat kerana mahu memberi tumpuan dengan FAM.
“Saya enggan dilabel sebagai tamak kuasa sekali gus menyebabkan isu konflik kepentingan peribadi juga timbul apabila memegang jawatan Presiden FAM dan Presiden MFL pada masa yang sama.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden MFL pada Kongres MFL yang akan datang tetapi perlu membuat penstrukturan dalaman terlebih dahulu.
“Saya percaya ini adalah langkah yang tepat kerana pasukan bola negara juga sudah berpisah daripada FA (persatuan negeri) ke FC (kelab) dan situasi yang sama juga perlu dibuat diperingkat MFL serta FAM,” ujarnya.
Sementara itu, perwakilan yang baharu dilantik, Datuk Posa Majais mengakui dirinya perlu bekerja keras dalam melaksanakan tugas serta kepercayaan yang diberikan untuk menjawat jawatan Naib Presiden FAM.
“Meskipun saya tidak memiliki gelaran Exco sebelum ini, saya tetap berkhidmat dengan FAM sebagai Ahli Jawatankuasa Kewangan dan penolong pengurus pasukan skuad Harimau Malaya.
“Namun, selepas diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Naib Presiden FAM, sudah tentulah saya perlu bekerja lebih keras dengan lebih banyak amanah yang bakal diberikan.
“Apa yang pasti, saya bersedia untuk melaksanakan apa sahaja tugas dan portfolio yang diberi demi kelestarian bola sepak negara,” kata Posa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).