JAKARTA – Kegigihan seorang datuk berusia 90 tahun mencari rezeki dengan menjual sayur tauge goreng di Kota Bekasi, Jawa Barat Indonesia mengundang simpati netizen, lapor portal Suara.com, semalam.
Setiap hari, warga emas itu berniaga berseorangan di pinggir jalan berdekatan sebuah hospital di kota tersebut. Rutin itu dilakukannya sejak era pemerintahan Presiden Indonesia pertama, Soekarno.
Menerusi klip video yang dimuat naik di akaun TikTok@yua_set, lelaki itu sentiasa memberikan senyuman ketika melayan pelanggannya.
“Malulah kita yang masih muda sedangkan warga emas tersebut masih gigih dan bersemangat untuk mencari nafkah,” tulis pemilik akaun tersebut.
Tauge goreng itu dilihat dimasak menggunakan dapur kayu yang mengeluarkan asap berkepul-kepul sebelum disiram kuah kacang dan dibungkus menggunakan daun pisang.
Ia dijual pada harga Rp5,000 (RM1.53) sebungkus dan dikatakan rasanya sedap walaupun kelihatan sederhana.
Setakat semalam, klip video itu sudah ditonton lebih tiga juta kali.
“Paling lemah saya kalau lihat begini,” komen seorang pengguna media sosial.
“Setiap kali melihat orang tua yang masih suka bekerja saya selalu berasa ingin menangis,” komen seorang lagi netizen.
“Sihat selalu ya datuk. Semoga rezekinya lancar,” doa seorang netizen yang lain di ruangan komen. – Agensi