fbpx

Penduduk Yangon lari selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG RAMAI menaiki kereta dan trak meninggalkan kawasan perbandaran Hlaing Tharyar hari ini. - AFP

YANGON – Penduduk di daerah paling bergolak di Yangon meninggalkan kawasan tersebut dengan menaiki trak dan tuk-tuk hari ini selepas pasukan keselamatan meningkatkan penggunaan kekerasan membunuh terhadap penunjuk perasaan antikudeta di sebalik rayuan masyarakat antarabangsa supaya semua pihak bertenang.

Menurut kumpulan pemantau Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP) , keganasan baharu oleh pasukan keselamatan di sebilangan bandar semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh.

Ia menyusul selepas hari paling berdarah dalam tempoh enam minggu junta tentera menumbangkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi. AAP melaporkan, 74 orang terbunuh pada hari tersebut, Ahad lalu, selepas pasukan keselamatan bertindak ganas untuk menyuraikan bantahan antikudeta di seluruh Myanmar.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken mengutuk junta tentera hari ini kerana bertindak kejam terhadap penunjuk perasaan.

Ramai yang terbunuh pada Ahad lalu berasal dari kawasan perbandaran Hlaing Tharyar di Yangon. Kawasan itu menempatkan banyak kilang milik China dengan beberapa premis tersebut dibakar penunjuk perasaan pada hari yang sama.

Junta tentera bertindak balas dengan melaksanakan undang-undang tentera di Hlaing Tharyar dan lima kawasan perbandaran lain yang didiami sekitar dua juta penduduk atau lebih satu perempat populasi Yangon.

Sesiapa yang ditangkap di zon tersebut akan dihadapkan ke mahkamah tentera dengan hukuman dikenakan bermula daripada penjara tiga tahun dan kerja keras hinggalah hukuman mati.

Pakar undang-undang Myanmar, Melissa Crouch berkata, deklarasi undang-undang tentera memberikan kuasa penuh kepada komander tentera dan mengetepikan pentadbiran awam serta hakim.

“Penggunaan undang-undang tentera begitu membimbangkan dan menunjukkan situasi di Myanmar menjadi amat buruk,” katanya.

Menjelang pagi tadi, media tempatan, The Irrawaddy menyiarkan gambar penduduk meninggalkan perbandaran Hlaing Tharyar dengan menaiki sejumlah trak sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kami dapat melihat orang ramai di atas jalan sejauh mata memandang,” lapor media tempatan lain, Democratic Voice of Burma.

Seorang penduduk mengesahkan penghijrahan beramai-ramai itu kepada agensi berita AFP.

Penunjuk perasaan mengalihkan halangan di jalan-jalan untuk membolehkan penduduk keluar dan mendirikannya semula selepas itu.

Lebih 180 orang terbunuh sejak junta tentera merampas kuasa pada Februari lalu, demikian menurut AAPP. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI