GEORGE TOWN – Hasrat UITM FC memburu mata pertama ketika menentang Penang FC tidak berhasil apabila terikat 0-0 pada perlawanan kempen Liga Super 2021 di Stadium Bandaraya di sini malam ini.
Pada separuh masa pertama, skuad bimbingan ‘Jurgen Klopp’ Malaysia, Tomas Trucha gagal memburu sebarang mata selepas cubaan beberapa kali pemainnya seawal minit ke-10 tersasar selain ditolak kemas penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd. Sukri.
Usaha pemain barisan tengah tuan rumah, Mohamad Al-Hafiz Harun menghasilkan jaringan sulung ternyata tidak berhasil apabila sepakannya sekadar menerjah ke tepi gawang.
Pemain import dari Brazil, Endrick Dos Santos Parafita juga beberapa kali-kali berusaha menambah jaringan buat pasukan namun gagal melewati palang pada minit ke-28 dan 40.
Pasukan pelawat kendalian Frank Bernhardt ternyata mahu memburu mata pertama untuk pasukan dengan melakukan beberapa serangan balas namun ditentang rapat skuad tuan rumah.
Serangan barisan hadapan UiTM FC berjaya menghuru-hara benteng pasukan tuan rumah sehingga tiga minit masa tambahan separuh masa pertama berakhir.
Memasuki babak kedua, pasukan Penang FC dan UiTM FC masing-masing cuba menggunakan kehandalan dalam memburu jaringan pertama buat pasukan dengan melakukan asakan dan serangan bertubi-tubi.
Pada perlawanan kedua itu, penyerang Penang FC, Anselmo Arruda Da Silva banyak melepaskan peluang menjaringkan gol apabila sepakannya hanya menjengah ke tepi dan atas palang kubu lawan.
Kedudukan terikat 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.- K! ONLINE