fbpx

Nafuzi pacu TFC dalam kelas tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain TFC meraikan kemenangan 2-0 ke atas Perak FC di Stadium Perak, Ipoh kelmarin sekali gus menyamai pencapaian JDT yang memenangi tiga perlawanan setakat ini. - FOTO FB TFC

Oleh Azizan Hashim

KETUA jurulatih Terengganu FC, Mohd. Nafuzi Mohd. Zain gembira dengan prestasi cemerlang anak-anak buahnya yang berjaya melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam tiga perlawanan pertama sejak saingan Liga Super mula diperkenalkan pada 2004.

Kejayaan itu hadir selepas Terengganu berjaya menewaskan Perak FC 2-0 di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin sekali gus menyamai pencapaian gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut memenangi tiga perlawanan setakat ini.

“Pertama sekali tahniah kepada pemain-pemain TFC atas kejayaan ini. Saya gembira dengan persembahan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang 90 minit perlawanan. 

“Pemain telah memberikan aksi yang terbaik dalam segala aspek malam ini (malam kelmarin). Perlawanan ini tidak mudah kerana tuan rumah memberi cabaran sengit kepada kami. 

“Apa pun tiga mata di tempat lawan adalah satu pencapaian yang amat bagus buat pasukan,” kata Nafuzi kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.

Dua gol Terengganu dalam aksi tersebut diperoleh menerusi rembatan deras Mohd. Faisal Abdul Halim dan sepakan lencong menarik daripada Dechi Marcel masing-masing pada minit ke-25 serta 91.

Sementara itu, Nafuzi, 43, menegaskan, terlalu awal untuk menilai kemampuan sebenar TFC kerana perjalanan liga masih lagi panjang. 

“Ada 19  perlawanan lagi, jadi kita hanya boleh tahu keupayaan pasukan pada Ogos depan. Kedudukan ketika itu barulah dapat menentukan sama ada kami bagus atau tidak,” jelasnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI