fbpx

Majlis solat hajat punca Kluster Banggol Chicha tersebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kelantan mencatatkan satu kluster baharu jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Banggol Chicha yang dikesan pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, kluster tersebut melibatkan kes di daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat.

Katanya, kes index itu dikesan daripada seorang wanita warga emas yang berusia 65 tahun melalui saringan pra kemasukan ke hospital pada 11 Mac lalu.

“Sehingga hari ini, sebanyak 17 kes telah dilaporkan dalam kluster ini iaitu lapan kes di Pasir Mas, Kota Bharu (7) dan Tumpat (2).

“Kluster ini juga telah menjangkiti tiga pesakit dan enam peneman di wad sebuah hospital di Kelantan. Jangkitan di wad ini bermula apabila cucu kepada kes index (wanita warga emas) dimasukkan ke hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Izani, penyebaran wabak Covid-19 itu disyaki berpunca daripada majlis solat hajat yang telah diadakan di rumah wanita tersebut.

Katanya, mengambil pengajaran daripada kluster baharu yang dilaporkan, penganjuran majlis sosial seperti solat hajat, sambutan hari jadi, kenduri kahwin dan lain-lain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ujarnya, sekiranya SOP tidak dapat dipatuhi, sebaiknya tangguhkan dahulu majlis-majlis tersebut.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 67 kes baharu jangkitan Covid-19 pada hari ini dan 5,437 kes secara keseluruhan.

Kluster Banggol Chicha merupakan kluster baharu di Kelantan selepas Hilir, Huma, Cengal, Mengketil, Kube, Tembok Pengkalan Chepa dan Bukit Marak yang tercetus sebelum ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI