MUAR- Tidak hanya menghemburkan kata-kata kesat, seorang penunggang motosikal bertindak agresif menghentak beberapa bahagian kenderaan seorang wanita selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Menerusi video tular berdurasi seminit 38 saat itu, suspek yang berada di bahu jalan dilihat memarahi pemandu wanita yang berada di dalam kereta sebelum menghentak bonet dan cermin menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian pada pukul 3.25 petang semalam di pekan Parit Jawa di sini itu telah mengakibatkan cermin sisi, cermin hadapan dan bonet kenderaan itu rosak.
“Siasatan mendapati mangsa berusia 26 tahun diserang oleh suspek berusia 25 tahun dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan cara pemanduan kenderaan masing-masing.
“polis telah mengambil keterangan dua individu itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semakan mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan di hospital.
Dalam pada itu, Zaharudin meminta orang ramai agar tidak mudah menularkan sesuatu rakaman video atau gambar berkaitan apa-apa kejadian di media sosial bagi mengelak salah faham dan kegusaran masyarakat. -K! ONLINE