fbpx

Lans Koperal komplot samun kedai serbaneka ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan seorang wanita memakai vest polis mengambil beberapa barangan dalam kedai serbaneka berkenaan, Ahad lalu.

PETALING JAYA – Taktik licik dua anggota polis berpangkat lans koperal mengumpan seorang wanita untuk menyamun sebuah kedai serbaneka di kawasan SS 6, Kelana Jaya pada Ahad lalu tumpas selepas kesemua mereka ditahan pada hari sama.

Anggota keselamatan itu yang dipercayai bersubahat dengan seorang wanita dan seorang lagi lelaki diberkas dalam dua serbuan pada pukul 5 petang hingga 8.30 malam.

Terdahulu, video kejadian samun berdurasi 9 minit 7 saat itu tular di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang wanita memakai vest polis dan topi hitam memasuki sebuah kedai serbaneka dan mengambil beberapa barangan di rak yang berlainan.

Wanita itu dikatakan enggan membuat bayaran terhadap sejumlah barang yang diambil meskipun diminta berulang kali sebelum beredar dan kembali semula untuk mengambil barangan lain.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi apabila seorang wanita masuk ke premis tersebut dengan memakai vest polis dan mengambil beberapa barang tanpa membuat bayaran.

“Pekerja kedai serbaneka yang berusia 41 tahun meminta suspek untuk menjelaskan bayaran, namun dia memberi alasan pegawai atasannya akan datang untuk membuat bayaran dalam tempoh satu jam, sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta peronda polis jenis Honda Civic.

“Semakan mendapati suspek melarikan lima kotak rokok, pemetik api dan gula-gula dengan nilai keseluruhan RM146.30,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepasukan anggota Balai Polis Kelana Jaya kemudian memberkas dua anggota polis berusia 38 dan 31 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada hari sama.

“Hasil soal siasat terhadap salah seorang anggota polis itu telah membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang merupakan orang awam di kawasan Sea Park  pada pukul 8.30 malam.

“Semakan terhadap wanita yang berusia 36 tahun itu mendapati dia memiliki tujuh rekod jenayah, manakala suspek berusia 27 tahun pula mempunyai lima rekod kes jenayah dan lapan kes dadah,” katanya.

Siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan mengaku terlibat dalam kejadian samun itu.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI