PETALING JAYA – Kerajaan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal hari ini memutuskan untuk membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri serta solat terawih dijalankan pada bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu dipatuhi sepenuhnya.
Katanya, antara perkara perlu dipatuhi adalah ia dilaksanakan di kawasan terbuka, penyediaan laluan sehala bagi pintu masuk dan keluar, pendaftaran My Sejahtera di pintu masuk dan kawalan jumlah pengunjung.
“Waktu operasi bazar Ramadan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam manakala bazar Aidilfitri bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.
“Bagaimanapun, dari sudut lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak dan lain-lain akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri masing-masing,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara.
Begitupun, katanya, jumlah kehadiran jemaah adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri. – K! ONLINE