KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat Pusat Vaksinasi Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, sejurus tiba, Seri Paduka Baginda diberi persembahan taklimat berkenaan penyimpanan vaksin Covid-19 dan proses vaksinasi kepada orang awam di pusat tersebut.
“Pada lawatan ini, Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat melawat tempat penyimpanan vaksin di mana baginda turut diberi persembahan taklimat ringkas,” katanya di laman Facebook hari ini.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pada pukul 2.40 petang tadi disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Turut menyambut ketibaan Al-Sultan Abdullah ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama, Istana Negara memberitahu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyaksikan proses suntikan vaksin di pusat vaksinasi tersebut.
“Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap keselamatan diri rakyat dan menasihati rakyat untuk berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19,” katanya. – K! ONLINE