KUALA LUMPUR – Hasrat juara Piala Vivian May Soars tahun lalu, PKS Uniten-KPT membuka langkah kanan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) Wanita musim ini tidak kesampaian.
Sebaliknya, PKS Uniten terpaksa akur mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan satu lagi pasukan pilihan, PDRM Blue Warriors di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
“Namun, saya tetap gembira meskipun meraih satu mata untuk aksi pertama kerana pemain menunjukkan semangat melawan yang tinggi selepas dua kali ketinggalan,” kata ketua jurulatih PKS Uniten, Lailin Abu Hassan selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Blue Warriors terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Fatin Shafika Mohd. Sukri pada minit ke-19 sebelum PKS Uniten mengikat kedudukan melalui Nuraslinda Said pada minit ke-28.
Bagaimanapun, PKS Uniten sekali lagi ketinggalan kepada Blue Warriors menerusi pukulan sudut penalti Nur Syafiqah Mohd. Zain pada minit ke-46.
Mujur empat minit kemudian PKS Uniten berjaya menyamakan kedudukan melalui Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad sekali gus kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Sementara itu, Sabah bangkit untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Young Tigress menerusi jaringan Nor Asfarina Isahyifika Isahhidun serta Melanie Juim pada minit ke-28 dan 35.
Gol tunggal Young Tigress dijaringkan oleh Dayang Nuramirah Abang Mahadi pada minit ke-12. – K! ONLINE