fbpx

Pink Racing lakar sejarah permotoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Atikah (kiri) bersama barisan penaja yang hadir pada majlis memperkenalkan jentera dan pelumba pasukan Tuneboss Pink Racing di Shah Alam kelmarin.

PENDATANG baharu kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021, Tuneboss-Pink Racing melakar sejarah tersendiri dalam sukan permotoran negara apabila pertama kali dimiliki sepenuhnya oleh wanita termuda dalam arena itu.

Pemilik pasukan, Atikah Azwar yang baru berusia 25 tahun wajar tercatat dalam rekod apabila memiliki pasukan sendiri dalam sukan yang sering didominasi kaum lelaki itu.

Kata Atikah yang lebih dikenali sebagai Rider Helmet Pink itu, dia mendapat ilham untuk menubuhkan pasukan tersebut ketika beraksi dalam kategori Pro-Am tahun lalu.

ATIKAH

Selain itu, dorongan serta sokongan yang diberikan orang sekeliling terutamanya penaja utama, Tuneboss menyuntik lagi semangatnya untuk memiliki pasukan sendiri.

“Secara jujur, niat untuk me­nubuhkan pasukan ini tercetus pada pertengahan tahun lalu. Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditunda kerana mengalami kecederaan patah tangan selain mekanik saya meninggal dunia.

“Saya fikir kami gunakan masa yang agak singkat untuk tubuhkan pasukan ini kerana kami mulakan perancangan pada penghujung Disember lalu. Lebih kurang lima bulan masa yang diambil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Tuneboss-Pink Racing di Shah Alam semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali; Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar serta Presi­den Persatuan Pelumba Sukan Permotoran Malaysia, Shahrol Yuzy.

Pada majlis tersebut, Pink Racing turut memperkenalkan penaja pasukan bagi saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini termasuk akhbar Kosmo!, Tune Boss, Tobaki Racing, Estremo Lubricant, D.I.D Chain, Welly Assorted Rawang, Qbee Motor Group, NHK Helmet, Gene Advance, Five Glove, Hypergear, Insta360, RacingBoy, UmaRacing, Fdr Tyre dan Koyoko.

Sebagai permulaan, Pink Ra­cing akan beraksi dalam dua ka­tegori musim ini iaitu Wira dan CP125 selain membariskan dua pelumba wanita dan seorang pelumba lelaki.

Juara kategori Wira tahun 2015, Muhamad Harith Farhan Baharin dan Siti Norafizah Muhamad akan menjadi pertaruhan Pink Racing dalam kategori CP125 sementara Siti Norsyafirah Alia Saarizan menjadi sandaran dalam saingan Wira.

Atikah (kiri) bersama pelumbanya, Norafizah, Alia dan Harith yang menjadi sandaran pasukan Pink Racing dalam saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia musim ini.

Atikah bagaimanapun enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi pada penampilan sulung, sebaliknya mahu pasukan itu menimba pengalaman dengan pasukan-pasukan ‘otai’.

“Memandangkan ini adalah tahun pertama kami dalam Cub Prix, jadi kami tidak letak sasaran terlalu tinggi. Pengalaman serta ilmu lebih penting.

“Kami akan cuba berikan saingan terbaik pada kejuaraan kali ini. Sekiranya kami mampu untuk menaiki podium, saya fikir itu adalah bonus untuk Pink Racing,” tambah beliau yang turut aktif sebagai ‘YouTuber’.

ATIKAH mengakui kehadiran Pink Racing musim ini adalah untuk menimba ilmu dan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi.

Sementara itu, Atikah turut menjelaskan antara objektif utama beliau menu­buhkan pasukan tersebut adalah untuk menarik lebih ramai kaum wanita menceburkan diri dalam sukan permotoran.

Katanya, meskipun ada pihak yang mempersenda kesungguhannya, namun ia langsung tidak memberi kesan terhadap hasratnya itu.

“Secara jujur, tujuan saya tubuhkan pasukan adalah untuk tarik lebih ramai wanita di luar sana untuk masuk ke sukan permotoran. Saya tahu ramai antara mereka berminat untuk jadi pelumba serta mekanik, namun tidak ada platform yang sesuai.

“Berhubung penerimaan, sudah tentu ada yang menyokong dan mempersenda kerana tidak ada pengalaman. Bagaimanapun, Tuneboss dan penaja-penaja lain menjadi sumber kekuatan saya,” ujar­nya lagi.

Sebagai rekod, Pink Racing bukan sahaja terlibat dalam saingan Cub Prix, malah mereka juga akan turut menyertai Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 dan Drag Racing.

Pasukan itu kini dalam persiapan terakhir bagi menghadapi perlumbaan pertama musim ini yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI