fbpx

Pemain leka aksi kedua perlawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMAIN pertahanan Kucing City FC Aylton Ferreira (kanan) cuba menyekat kemaraan penyerang JDT II, Kei Hirose pada aksi kelmarin.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

JOHOR BAHRU – Penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin menyifatkan kelekaan pemain pada babak kedua perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dihukum pasukan tuan rumah menyebabkan pasukan berputih mata tewas 1-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin.

Sulaiman berkata, kealpaan pemain yang memberi ruang kepada pasukan lawan menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit memadamkan persembahan terbaik yang dipamerkan pada separuh masa pertama.

Katanya, faktor tidak mencapai tahap kecergasan sepenuhnya dan kurang keserasian dalam kalangan pemain antara sebab Kuching City beraksi longlai pada babak kedua.

“Sepatutnya bila sudah bolos satu gol, pemain perlu berkomunikasi dan kembali mengatur kedudukan tapi apa yang berlaku ialah sebaliknya apabila pemain hilang konsentrasi malah memberi ruang buat JDT II menambah jaringan selang beberapa minit kemudian.

“Kita cuba bangkit selepas itu dan mempunyai beberapa peluang terhidang untuk menyamakan jaringan namun gagal berbuat demikian. Segalanya sudah terlambat apabila pasukan tuan rumah meledak gol ketiga perlawanan.

“Kemasukan pemain daripada atas (JDT) pada perlawanan ini turut meletakkan kami di kedudukan yang sukar. Pemain berpengalaman seperti Syafiq Ahmad ini Akhyar Rashid ini yang memisahkan perlawanan hari ini, sekiranya mereka mengekalkan skuad ketika menentang Negeri sembilan pasti lain ceritanya,” katanya.

Sulaiman memberitahu, pasukannya masih mentah dan belum dapat menguji kemampuan sebenar Kuching City setelah keluar daripada Sarawak FA sebelum saingan Liga Perdana bermula dan tidak pernah mengadakan perlawanan persahabatan. 

Katanya, dia percaya mutu permainan pasukan akan bertambah baik pada perlawanan akan datang selain memperbaiki kelemahan yang ditonjolkan dalam dua pertemuan liga sebelum ini.

“Empat perlawanan pertama liga musim ini amat mencabar buat kami kerana kesemuanya beraksi di tempat lawan. Kami tidak boleh berterusan pulang dengan tangan kosong di peringkat awal dan perlu mengutip seberapa banyak mata dalam perlawanan ini.

“Saya percaya corak permainan kami akan mencatatkan peningkatan dalam perlawanan seterusnya menentang Sarawak United,” katanya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI