JENDELA perpindahan musim panas lalu menyaksikan Chelsea antara pasukan yang menghabiskan dana lebih RM1 bilion untuk mendapatkan pemain yang mereka inginkan, namun situasi Lionel Messi di Barcelona sebenarnya lebih mencuri perhatian dan hangat diperkatakan.
Hubungan yang retak dengan bekas Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu dilaporkan menjadi penyebab pemain paling sensasi di dunia pada era ini, tawar hati untuk kekal di Camp Nou dan mencari angin baharu.
Namun, dek kerana perasaan kasih terhadap kelab yang berjaya mengangkat namanya, Messi membuat keputusan untuk kekal sedangkan dia mempunyai peluang cerah untuk bebas daripada kontrak bersama kelab itu jika kes tersebut diheret ke mahkamah.
Pada musim sejuk Januari lalu, Messi sekali lagi menjadi tumpuan apabila ramai pihak menunggu sebarang pengumuman mengenai masa depannya sama ada kekal di Barcelona atau menamakan kelab baharu yang menjadi destinasinya selepas ini.
Bagaimanapun, kapten Argentina itu terus membuatkan para peminat tertanya-tanya apabila tidak ada sebarang kata putus dibuatnya.
Isnin lalu, mungkin menjadi detik penting buat para peminat Barcelona yang mana ia merupakan talian hayat terakhir mereka untuk memastikan Messi terus kekal dengan menandatangani kontrak baharu.
Pemilihan presiden kelab yang baharu selepas Bartomeu meletakkan jawatan pada Oktober tahun lalu menyaksikan Joan Laporta muncul pemenang apabila mendapat 54 peratus undian sekali gus memegang jawatan itu buat kali kedua selepas kali terakhir menjawatnya dari 2003 hingga 2010.
Era Laporte sebelum ini menyaksikan beliau berjaya membawa masuk Ronaldinho dan Samuel Eto’o serta memgemudi pasukan itu merangkul dua trofi Liga Juara-Juara dan empat kejuaraan La Liga.
Kemenangan Laporte pada pemilihan kali ini juga dikaitkan dengan Messi apabila beliau menggunakan manifesto untuk mengekalkan pemain itu sekiranya dipilih sebagai presiden baharu.
Hubungannya yang baik bersama Messi menjadi modal kempen dan kini Laporte pastinya perlu bekerja keras untuk melunaskan janjinya itu.
Dalam pada itu, Presiden La Liga, Javier Tebas mengakui pihaknya sudah bersedia dengan kemungkinan kehilangan Messi dalam saingan liga mereka.
Pandemik Covid-19 memberikan kesan kepada liga keseluruhan dan Barcelona dilaporkan mengalami kerugian sebanyak £1.1 bilion (RM6.3 bilion) ekoran bebanan hutang, justeru kehilangan Messi bermakna aliran tunai akan berdepan masalah lebih meruncing.
La Liga ketika ini hanya mempunyai Messi sebagai pemain yang memiliki karakter kuat untuk menarik penajaan masuk ke saingan itu selepas mereka kehilangan Cristiano Ronaldo dan Neymar sebelum ini.