JEMPOL – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat ibu saudaranya di sebuah rumah di Kampung Dusat Ayer Hitam, di sini 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 45 tahun tersebut diberkas selepas polis mendapati keterangan yang diberikan banyak bercanggah.
Menurutnya, mayat mangsa berusia 51 tahun itu ditemui pada pukul 11.56 pagi dalam keadaan terbaring di atas tilam di hadapan pintu masuk dalam rumah.
“Pemeriksaan menemui beberapa kesan kecederaan pada bahagian kepala, badan, tangan dan kaki mangsa.
“Beberapa objek senjata seperti kayu telah dirampas di tempat kejadian,” katanya.
Tambahnya, polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk bedah siasat.
Suspek kini direman sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE