PUTRAJAYA – Malaysia dijangka merekodkan sekitar 500 kes positif Covid-19 sehari menjelang Mei depan berdasarkan trend penurunan nilai kebolehjangkitan atau R-naught (R0) di seluruh negara buat masa ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penurunan kes positif itu boleh dicapai sekiranya rakyat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, buat masa ini, purata nilai R0 di seluruh negara adalah sekitar 0.87 yang direkodkan semalam berbanding 0.9 pada 28 Februari lalu.
“Bagaimanapun, sekiranya SOP tidak dipatuhi, R0 dijangka meningkat semula melebihi 1.0, sekali gus meningkatkan bilangan kes harian,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, setakat semalam, kebanyakan negeri mencapai nilai R0 kurang 1.0 kecuali Terengganu dan Pulau Pinang. – K! ONLINE.