KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemui lemas di dalam parit hadapan rumahnya di Sungai Sireh, Tanjung Karang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mangsa ditemukan oleh bapanya sendiri yang merupakan pemandu lori berusia 34 tahun.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut bermain di hadapan rumahnya sebelum didapati hilang daripada pandangan.
“Bapanya kemudianya mencari sebelum menemui anaknya di dalam parit hadapan rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau menjelaskan mangsa yang dibawa ke Hospital Tanjung Karang kemudiannya disahkan telah meninggal dunia akibat lemas.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. -K! ONLINE.