KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Berdasarkan salinan notis rayuan yang diperoleh, notis tersebut difailkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu, Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa ketika dihubungi mengesahkan bahawa notis rayuan berhubung keputusan mahkamah itu telah difailkan.
Terdahulu pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan penganut agama Kristian di negara ini boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam pembelajaran agama atau penerbitan buku agama mereka.
Selain ‘Allah’, tiga lagi perkataan yang boleh digunakan oleh penganut agama Kristian di negara ini ialah ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan mereka.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memutuskan demikian dalam semakan kehakiman seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland selepas mendapati notis larangan KDN adalah salah dan tidak berpelembagaan.
Ketika membaca penghakimannya hakim itu berkata, mahkamah membenarkan deklarasi dalam mengamal kebebasan beragama yang terlindung dalam Perkara 3,8,11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
Jill Ireland memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan agar kesemua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon. – K! ONLINE