TURIN – Fokus Cristiano Ronaldo untuk menghadiahkan kejuaraan buat Juventus tetap tidak terjejas meskipun kini ‘diserang’ pelbagai spekulasi berhubung masa depannya bersama gergasi Itali itu.
Ronaldo, 36, menegaskan, tugasnya masih belum tamat walaupun gagal membantu The Old Lady di pentas Eropah selepas tersingkir seawal pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara kepada Porto baru-baru ini.
Pemenang lima Ballon d’Or itu tetap komited mahu menghadiahkan gelaran Scudetto serta Piala Itali buat Juventus memandangkan kontraknya masih belum tamat dan akan berakhir tahun depan.
“Juara sebenar tidak pernah mengalah. Fokus kami sekarang untuk memulihkan situasi dalam saingan Serie A dan selepas itu aksi final Piala Itali. Segalanya masih boleh dicapai musim ini.
“Benar, masa lalu bagaikan sebuah muzium. Namun, bola sepak mempunyai kenangan manis dan sejarah tidak boleh dipadam kerana ia sudah tertulis.
“Sesiapa yang tak memahami perkara ini, mereka tidak akan pernah mencapai kejayaan,” kata Ronaldo menerusi satu kenyataan dalam laman Instagram peribadinya.
Terdahulu, Ronaldo menjadi topik hangat di Itali selepas Juventus dikatakan bersedia meletakkan tanda harga sekurang-kurangnya bernilai €29 juta (RM142.7 juta) kepada mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat kapten Portugal itu.
Ia selepas kehadiran Ronaldo daripada Real Madrid dengan yuran perpindahan tinggi berjumlah €120 juta (RM590.7 juta) pada 2018, gagal membantu Juventus menamatkan penantian sebagai juara Eropah sejak kali terakhir dilakukan pada 1995/1996. – AGENSi