DOHA, Qatar – Juara bertahan Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP), Joan Mir mengakui persediaan pasukan Suzuki masih belum mencapai tahap tertinggi selepas mempamerkan prestasi ‘ala’ kadar pada sesi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Losail sejak minggu lepas.
Kata Mir, kepantasan jentera yang dibekalkan oleh pasukan masih kurang memuaskan sekali gus memberi gambaran bahawa dirinya berdepan cabaran hebat dalam usaha mengekalkan kejuaraan musim ini.
“Saya rasa kami baru sahaja melakukan persediaan sebanyak 70 peratus dan masih banyak kelemahan daripada sudut jentera yang perlu diperbaiki jika pasukan berhasrat untuk mengulangi pencapaian bersejarah tahun lepas.
“Secara jujur, saya tidak tahu apa kelemahan yang ada tetapi saya berpendapat jurutera serta mekanik kami terlalu berinovasi dalam usaha mendapatkan jentera yang lebih bagus untuk musim 2022 berbanding musim ini.
“Bagaimanapun, selepas berbincang, saya percaya keputusan untuk kekal menggunakan jentera musim lepas dengan mengadakan hanya sedikit penambahbaikan adalah baik kerana kita sudah kesuntukan masa memandangkan saingan MotoGP akan bermula kurang dua minggu lagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Mir turut percaya beberapa pasukan pesaing telah menunjukkan kualiti pada sesi ujian pramusim kali ini dengan pasukan Ducati dan Yamaha berjaya mencuri perhatian.
“Saya jangka saingan kali ini sangat sengit dengan perubahan jentera yang dilakukan oleh pasukan Ducati dan Yamaha agak menjadi kerana mereka dilihat cukup pantas serta konsisten sepanjang sesi ujian kali ini,” kata pelumba kelahiran Sepanyol itu. – AGENSI