LONDON – Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson memberi sokongan kepada pemainnya, Wilfred Zaha yang mengambil keputusan untuk tidak melutut pada permulaan perlawanan ketika menentang West Bromwich Albion kelmarin.
Zaha menjadi pemain pertama di Liga Perdana Inggeris yang membuat keputusan untuk berhenti melakukannya selain turut mengakui tidak selesa dengan mengenakan slogan anti perkauman pada jersinya.
“Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaha dan saya fikir semua orang patut bersetuju dengan pendapat yang diberikan.
“Secara asasnya, apa tujuan kita melakukannya perkara seperti itu. Zaha berpendapat bahawa perbuatan itu hanya sebuah ritual berbanding mesej yang perlu disampaikan.
“Kami menyokong apa yang dia lakukan dan semua pemain kami jelas mengapa Zaha tidak berbuat demikian” katanya.
Pada aksi menentang West Brom itu, Palace berjaya meraih tiga mata penuh selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Selhurst Park.
Ketika Palace tewas 1-4 kepada Tottenham Hotspur sebelum ini, Zaha tidak diturunkan tetapi kali ini dia berada dalam kesebelasan utama dan mengotakan janjinya untuk tidak melutut sebelum perlawanan sebagai tanda penentangan terhadap isu perkauman dalam bola sepak.
Zaha sebelum ini mengakui bahawa perbuatan itu tidak memberikan apa-apa kesan apabila masih ada pemain bola sepak yang terpaksa berdepan isu tersebut sepanjang musim ini. – AGENSI